welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Pengikut

Sabtu, 23 April 2011

"Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seseorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya, dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya". (Riwayat Muslim)



Daripada Abdullah ibn Abbas ra, bahawa Rasulullah pernah berdoa: "Ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau. Ya Allah, aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan. Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati (Muttafiqun alaih)". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Khamis, 21 April 2011

Abu Bakar r.a. berkata,
" Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuhmu berada di sekitar tubuhmu. Sedangkan Allah di atasmu. Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh menagajakmu melakukan dosa. Dan Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "....Dan Allah mengajak ke Syurga serta menuju keampunan-Nya..."

Sabtu, 16 April 2011

FAKTOR-FAKTOR KEBAHAGIAN MENURUT IBN MISKAWIH


Bila bertanya kepada sesiapapun "Adakah awak nak hidup bahagia?" pasti jawapannya "ia saya nak hidup saya bahagia. Tapi macam mana?" Semua orang inginkan kebahagian hidup baik di dunia atau pun di akhirat. Manusia mentafsirkan kebahagiaan itu dengan macam-macam perkara. Ada yang berpendapat banyak harta boleh buat kita bahagia. Tapi terjaminkah hanya dengan kekayaan hidup kita bahagia?? Sedang jiwa sebenarnya kosong dan tak bahagia? Ada juga yang kata bahagia itu bila ada ramai isteri, ramai anak, dan ramai kawan. Semua itu masih belum lagi membuat kita akan terasa bahagia. Sebenarnya kebahagiaan itu datanag adalah bermula dari hati. Bila hati atau jiwa kita bahagia, hidup kita pasti bahagia. Walaupun hidup miskin, tak banyak harta, tak ramai anak, tak ramai isteri dan tak ramai kawan, hati dia tetap terasa bahagia. Mesti pelikkan bunyi. tapi inilah hakikatnya. Segalanya akan berpunca dari hati.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya berlajar sewaktu dalam kuliah Psikologi Islam iaitu faktor-faktor kebahagiaan menurut Ibn Miskawih. Sapalah Ibn Miskawih ni?? Dia adalah seorang ahli psikologi Islam yang mengarang kitab mengenai psikologi iaitu kitab "Tahzib al-Akhlak". Dia bukan sahaja terkenal sebagai seorang ahli psikologi, malah dia juga adalah merupakan ahli falsafah, ahli sejarah, ahli polotik dan penyair. Hebatkan orangnya?. Beliau adalah berbangsa Parsi. Nama sebenarnya Abu Ali ibn Muhammmad ibn Ya'akub ibn Miskawih. Digelar Miskawih kerana mengambil sempena nama moyangnya iaitu Miskawih.

Terdapat empat faktor kebahagiaan menurut beliau iaitu faktor kebijaksanaan (al-Hikmah), kemuliaan (al-Iffah), keberanian (as-saja'ah) dan keadilan (al-'adalah).


1-Kebijaksanaan (al-Hikmah)

Beliau mengatakan bahawa kebijaksanaan itu adalah mengetahui segala perkara yang wujud sama ada berkaitan dengan ketuhanan atau kemanusiaan. Kebijaksanaan juga dikaitkan dengan penguasaan ilmu pengetahuan. Apabila manusia itu memiliki ilmu, dia akan dapat memikirkan tentang perkara-perkara yang mana boleh dilakukan dan yang mana tidak boleh dilakukan. Maka dengan itu dia mengatakan bahawa kebijaksanaan ini adalah mengenai daya jiwa rasional (al-nafs an-natiqah al-mumaiyyizat). Kebijaksanaan dibahagikan kepada dua aspek iaitu aspek teori dan praktikal. Aspek teori ialah kebolehan mengahasilkan pemikiran yang benar manakala aspek praktikal ialah kebolehan menghasilkan situasi yang baik.

Maka di sini dapatlah kita huraikan bahawa ingin mencapai kebahagiaan perlu kebijaksanaan dengan cara menguasai ilmu pengetahuan. Ingin bahagia mendapat keputusan dalam peperiksaan perlu baca buku, ingin bahagia mendapatkan kerjaya yang bagus kenalah berlajar bersungguh-sungguh, ingin memperoleh rumah tangga bahagia berlajarlah mengenai ilmu rumah tangga, dan ingin membahagiakan hati perlulah memperbanyakkan ilmu mengenali Tuhan.


2-Kemuliaan (al-Iffah)

Ibn Miskawih mengaitkan kemuliaan dengan daya jiwa syahwat (al-nafs al-syahwaniyyat). Nafsu syahwat jika dibimbing dengan betul akan menuju kepada kemuliaan. Untuk memandu nafsu syahwat perlu kepada akal. Syahwat yang dipandu dengan akal yang sempurna akan dapat membezakan antara baik dan buruk. Contohnya seseorang yang ingin membelanjakan hartanya. Dia boleh membuat pilihan sama ada ingin membelanjakan hartanya pada jalan yang betul ataupun pada jalan yang salah iaitu menurut nafsu syahwat. Namun dengan panduan akal yang benar dia dapat memikirkan bahawa membelanjakan harta pada jalan yang benar itu adalah lebih banyak manfaatnya. Maka dia membelanjakan harta dengan bersedekah kepada anak-anak yatim. Terbuktilah nafsu dan akalnya membawa dia kempada kemuliaan.

Jelaslah bahawa kemuliaan itu adalah suatu kebaikan yang kita lakukan akan mendatangkan kemuliaan. Mesti setiap manusia pernah melihat atau mengalami sendiri tentang seseorang yang telah melakukan banyak kebaikan dan berjasa pada masyarakat, dia akan dipandang mulia dan disayangai oleh masyarakat dan jika betul niatnya kerana Allah s.w.t, maka dia juga akan dipandang mulia dan dikasihi oleh Allah s.w.t. Bukankah itu adalah kebahagiaan yang diinginkan? Dikasihi dan disayangi oleh Allah dan semua makhluk sama ada di langit mahupun di bumi?


3-Keberanian (as-Saja'ah)

Keberanian adalah merupakan daya jiwa emosi. Beliau menyatakan lagi keberanian itu akan lebih terserlah jika diri seseorang itu diikatkan pada daya jiwa rasional (al-nafs an-natiqah al-mumaiyyizat). Apabila kedua-dua daya itu tergabung dalam diri seseorang, dia akan meletakkan keberaniannya kena pada tempatnya. Contohnya berani untuk berkata benar adalah keberanian yang kena pada tempatnya. Apabila kita benar katakan yang benar, apabila kita tahu salah kita perlu segera mengaku kesilapan kita dan memohon maaf. Kerana hidup tak akan bahagia jika kita berada dalam situasi jiwa yang berasa bersalah pada Allah mahupun manusia. Keberanian yang tidak kena pada tempatnya seperti merempit di jalan raya. Itu adalah berani juga, tapi berani mati katak. Itu adalah keberanian untuk melakukan kemungkaran dan sangat dimurkai Allah.


4-Keadilan (al-'Adalah)

Dikaitan dengan gabungan ketiga-tiga daya yang disebutkan tadi iaitu daya jiwa rasional, daya jiwa syahwat, dan daya jiwa emosi. Contohnya seseorang yang merasakan untuk mencari harta adalah sangat sukar tapi jika ingin mengahabiskannya sangat mudah. Jadi dia perlu mempunyai daya jiwa rasional iaitu bijak untuk mencari harta sama ada dengan berniaga atau sebagainya. Dia harus berani mencuba dengan pelbagai cara untuk mendapatkan harta. Dia kini berada pada daya jiwa emosi dan rasional. Maka apabila dia sudah memperoleh harta dia pula ingin membelanjakan hartanya sama ada pada jalan yang benar atau salah. Dia sekarang berada pada daya jiwa syahwat dan perlu pada panduan akal. Keadilan wujud apabila dia ingin mencari harta dengan sumber yang halal serta membelanjakannya pada jalan yang benar. Orang yang tidak adil tidak mengambil berat soal hukum halal ataupun haram. Hidup dengan memakan wang haram membuat kita akan rasa bersalah dan tidak selamat. Adakah itu dinamkan bahagia? Walaupun hidup kaya raya?

Maka di sini bahagia akan terbentuk apabila kita adil pada Allah, pada diri sendiri dan pada masyarakat.


Kesimpulan yang boleh dibuat kebahagiaan ini terbagagi kepada dua keadaan iaitu kebahagiaan yang sementara dan kebahagiaan yang abadi. Kebahagiaan yang sementara itu ialah seperti harta, kecantikan wajah, pangkat dan darjat. Kebahagiaan yang abadi pula adalah kebahagiaan di dunia yang membawa kepada akhirat. Ingin bahagia di akhirat perlu bahagia dulu di dunia. Caranya adalah dengan melakukan semua perkara adalah kerana Allah s.w.t. di samping melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Dengan perkongsian ilmu yang sedikit ini, dapatlah kita sama-sama membahagiakan hidup kita yang gersang ini. Harapan saya semoga kita peroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Saya tinggalkan kalam saya dengan kata-kata ini "Bahagiakanlah dirimu di dunia untuk kekal bahagia di akhirat. Bahagiakan dirimu untuk orang di sekelilingmu, bahagiakanlah hidupmu untuk kehidupan orang yang kamu sayang. Sama-samalah kita bahagia dengan bimbingan Allah dan petunjuk yang diberi oleh-Nya (al-Quran nur Karim). Moga hidup dilimpahkan rahmat dan berkat dunia dan akhirat. ameen.."
Allahua'lam...